
Saya terasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan dari perspektif Islam berkenaan dengan sambutan hari Krismas (Christmas) oleh penganut-penganut agama Kristian
ketika melawat Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada hari Ahad, 6
Disember 2009 yang lalu. Ini adalah kerana hiasan sambutan hari Krismas
di lobi KLCC itu begitu hebat dan belum pernah saya lihat sehebat itu di
mana-mana.
Pengenalan Sambutan Hari Krismas
Definasi Krismas dari Wikipedia adalah:
“Christmas or Christmas Day is an annual holiday celebrated on December 25 that commemorates the birth of Jesus of Nazareth.”1
Jika dirujuk perkataan “Christmas” dalam buku Istilah Agama Kristian, Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia, ia mengatakan:
“- Krismas, Hari Natal, Pesta Kelahiran Tuhan Yesus“2
Jadi
jelaslah yang Krismas ini adalah hari sambutan kelahiran Nabi Isa
(Yesus) bagi penganut agama Kristian (yang menganggapnya sebagai Tuhan)
dilakukan setiap tahun pada 25 Disember. Skop perbincangan ini hanya
akan memfokuskan kepada sambutan Krismas sahaja dan tidak pada doktrin
ketuhanan nabi Isa, walaubagaimanapun perlu ditegaskan di sini yang
Islam amat menentang doktrin syirik itu (Qur’an 5:76).
Bila Nabi Isa a.s. Dilahirkan?
Al
Qur’an tidak memberikan tarikh dan masa yang tepat berkenaan hal ini
tetapi sekadar gambaran masa kelahiran nabi Isa a.s. Seperti Firman
Allah s.w.t.
“Maka seseorang menyerunya dari tempat yang rendah: Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu..” (Qur’an 19:24-26)
Peristiwa
di atas berlaku pada Maryam a.s. selepas melahirkan Nabi Isa a.s. Di
dalam ayat di atas ada menyebut tentang buah kurma yang masak di atas
pohonnya, ini menunjukkan yang masa kelahiran itu tentu sekali bukan di dalam musim sejuk, bahkan bermungkinan besar di dalam musim bunga ataupun musim panas.
Bagaimana pula dengan Alkitab?
Ini adalah persoalan yang sangat menarik untuk diperbincangkan.
Sambutan Krismas adalah pada setiap 25 Disember dan sinonim dengan salji
musim sejuk.
Kitab-kitab
Perjanjian Baru (PB) tidak banyak menyentuh tentang kelahiran Nabi Isa
a.s. Kitab Matius menyentuhnya secara ringkas, manakala kitab Markus dan
Yohanes langsung ‘membisu’ dalam hal ini. Kitab Lukas adalah
satu-satunya sumber rujukan yang agak mendalam dengan mengambarkan masa
kelahiran Nabi Isa a.s.:
“Ketika mereka di situ tibalah waktunya bagi Maria (Maryam) untuk bersalin, dan ia melahirkan seorang anak laki-laki, anaknya yang sulung, lalu dibungkusnya dengan lampin dan dibaringkannya di dalam palungan, karena tidak ada tempat bagi mereka di rumah penginapan. Di daerah itu ada gembala-gembala yang tinggal di padang menjaga kawanan ternak mereka pada waktu malam“. (Lukas 2:6-8)
Di
dalam ayat di atas, ada mengatakan yang gembala-gembala tinggal di
padang rumput untuk menjaga ternakan mereka pada waktu malam, ini
menunjukkan yang musim itu bukanlah musim hujan mahupun musim sejuk.
Dalam Adam Clarke Commentary, jelas mengatakan
yang aktiviti-aktiviti gembalaan seperti yang dinyatakan dalam Lukas
2:2-8 berlaku dalam musim bunga atau musim panas:
It was an ancient custom among Jews of those days to send out their sheep to the fields and deserts about the Passsover (early Spring), and bring them home at commencement of the first rain…..the first rain began early in the month of Marchesvan, which answer to part of our October and November. We find that the sheep were kept out in the open country during the whole summer.3
Jadi
terbuktilah yang sambutan Krismas pada tarikh 25 Disember adalah satu
kesilapan masa. Tiada seorang pegembala pun yang sanggup tidur
bersama-sama dengan ternakannya di padang rumput pada musim hujan
mahupun pada musim sejuk. Pengalaman penulis di India pada musim sejuk,
semua ternakan seperti kambing akan di masukkan ke dalam rumah
pengembala itu sendiri malah dipakaikan ‘baju’ guni untuk menjaga
kesihatan ternakan itu. Bayangkanlah bagaimana keadaan ternakan itu jika
ianya diletakkan di padang rumput sepanjang malam pada musim sejuk?
Jadi terbuktilah yang sambutan Krismas pada 25 Disember adalah satu salah faham di dalam ajaran agama Kristian yang telah dibuktikan dari Alkitab (Bible)
mereka sendiri. Apa yang menariknya ialah kitab Lukas lebih menepati
apa yang Allah s.w.t. Firmankan dalam Surah Maryam, ayat 24 hingga 26,
iaitu kelahiran Nabi Isa a.s. bukanlah pada musim hujan mahupun musim sejuk, sebaliknya ia adalah pada musim bunga ataupun musim panas.
Mengapa 25 Disember?
Sebenarnya
25 Disember telah disambut sejak sebelum dari kelahiran Nabi Isa a.s.
lagi bagi memperingati ulang tahun kelahiran dewa matahari mengikut
mitos kepercayaan masyarakat Romawi (Rom) kuno. Oleh kerana agama
Kristian telah diterima oleh kerajaan dan rakyat Romawi pada kurun ke-4
Masihi maka perayaan pada 25 Disember tadi telah diadaptasi menjadi
perayaan Krismas kerana pemuka-pemuka agama Kristian ingin menjaga hati
orang-orang Romawi yang baru menerima agama Kristian itu. Akhirnya pada
350 Masihi Pope Julius 1 (337 – 352M) telah mengistiharkan secara
rasminya yang perayaan Krismas adalah hari suci bagi gereja Katholik.
Dalam The Encyclopedia Americana, di bawah tajuk “Christmas”, ada mengatakan:
“CHRISTMAS, the ‘Mass of Christ’— In the 5th century the Western Church ordered it to be celebrated forever on the day of the old Roman feast of the Birth of Sol (the Sun) —. Among the German and Celtic tribes, the Winter Solstice was considered an important point of the year, and they held their chief festival of Yule to commemorate the return of the burning-wheel (the sun).”4
Jadi
jelaslah kepada kita yang sambutan hari Krismas bukanlah berasal dari
ajaran agama Kristian itu sendiri tetapi telah diadaptasi dari
kepercayaan karut Romawi kuno. Ini tidak seperti ajaran Islam yang tegas
menghapuskan semua perayaan kebatilan kepada para penganutnya seperti
mana peristiwa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. Semasa Rasullullah
s.a.w. sampai ke Madinah dan penduduk Madinah ketika itu sedang
manyambut perayaan selama dua hari, bertanyalah Rasulullah s.a.w kepada
mereka tentang apa yang mereka rayakan itu. Setelah diberitahu yang
sambutan itu adalah sambutan sejak dari sebelum mereka memeluk agama
Islam lagi, maka Rasullullah s.a.w. menjawab yang Allah s.w.t. telah
menggantikan perayaan itu dengan dua perayaan Islam (iaitu Aidilfitri dan Aidiladha). Dengan cara itu terhapuslah segala perayaan yang tidak islamik sebelum era kedatangan Islam.
Hukum Menyambut Krismas Bagi Orang Islam
Islam
amat menggalakan sifat kasih sayang dan hormat-menghormati di dalam
semua aspek kebaikan sesama manusia, sekalipun fahaman atau anutan
mereka adalah berbeza. Walau bagaimanapun, Islam tetap meletakkan had
dan sempadan apabila sesuatu perkara itu menjejaskan akidah penganutnya. Seperti yang telah disentuh di atas, sambutan Krismas adalah satu bentuk salah-faham dalam agama Kristian daripada 3 segi:
1. Mengikut buku Istilah Agama Kristian, Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia
(di atas) mengatakan yang sambutan Krismas adalah sambutan ‘hari lahir
Tuhan Yesus’. Jadi ini sama sekali bertentangan dengan aqidah Islamiah
yang meyakini Allah itu Esa dan tidak berbilang.
2. Tarikh 25 Disember bukanlah tarikh kelahiran Nabi Isa a.s. yang sebenar.
3. Tarikh 25 Disember sebenarnya adalah sambutan kelahiran dewa matahari bagi orang-orang Romawi kuno, jadi sambutan itu adalah sebuah perayaan kabatilan.
Sambutan
Krismas adalah sambutan syirik orang-orang Kristian menyambut kelahiran
tuhan mereka ke dunia yang dipanggil dalam bahasa Ibrani sebagai
“Immanuel” (“Tuhan menyertai kita”)5. Oleh sebab itu, Islam tidak membenarkan sama sekali umatnya untuk terlibat serta dalam apa juga bentuk sambutan hari Krismas,
sama ada secara langsung ataupun tidak langsung walaupun hanya dengan
mengatakan, “Happy Christmas” atau “Merry Christmas” sekalipun tanpa
toleransi.
Jadi
hukum menyambut Krismas dalam apa bentuk sekalipun adalah haram dan
ditakuti boleh membawa kepada syirik. Umat Islam tidak dibenarkan untuk
tolong-menolong dalam melakukan ketidaktaatan kepada Allah s.w.t,
seperti Firmannya:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Qur’an 5:2)
Nabi
Muhammad s.a.w. dalam satu hadisnya mengingatkan kita tentang meniru
atau menyerupai ajaran sesuatu kaum yang lain, sabdanya, “Barangsiapa
menyerupai sesuatu kaum maka ia akan dibangkitkan bersama kaum itu”
(riwayat Abu Daud). Maka dibimbangi jika ada di antara kita yang
terlibat sama dengan penganut agama Kristian dalam menyambut Krismas,
maka di akhirat nanti kita akan dibangkitkan bersama dengan mereka, wa nau’zubillah.
Kita sewajibnya mengelakan diri terbabit dalam perayaan kebatilan ini sebagaimana Firman Allah s.w.t:
“…dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Qur’an 25:72)
Ada
di antara ulama yang menafsirkan “perbuatan-perbuatan yang tidak
berfaedah” termasuklah menyambut perayan-perayaan yang batil, tafsiran
ini termasuklah tafsiran Mujaahid dan Ibnu Seereen. Jadi sudah jelas
kepada kita apa itu sambutan hari Krismas. Semoga kita bersama-sama
dapat menyampaikan perkara ini kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat
agar dapat terhindar dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak
berfaedah lagi merosakkan akidah ini.

No comments:
Post a Comment